05 February 2013

SISTEM BREK


Pengenalan sistem brek                                                     


     Sistem brek direka untuk membenarkan pemandu memperlahankan serta memberhentikan kenderaan. Silinder induk disambung ke pedal brek yang diinjak oleh pemandu bagi memaksa bendalir dikenakan tekanan ke tiap-tiap pepasangan brek roda. Daya hidraulik digunakan untuk memaksa pad dalam pepasangan brek piring menentang pusingan rotor atau menolak keluar kekasut brek menentang pusingan gelendong brek.
     Sistem brek tangan ( hand brake ) biasanya menggunakan kaedah mekanikal dan dipasang pada roda belakang atau batang shaf ( long shaft ). Ianya digunakan bagi mengunci roda belakang atau batang shaf ( long shaft ) ketika meletakkan kenderaan atau membrek dalam kecemasan.

 Sistem brek yang baik


*   Boleh memberhentikan kenderaan dengan cekap apabila dikehendaki
*   Berada dalam keadaan baik dan dalam kawalan pemandu pada setiap masa
*   Tidak boleh menghilangkan kuasa brek
*   Tidak memerlukan pelarasan yang sangat kerap
*   Sesuai untuk semua kelajuan, keadaan dan suhu.


Jenis-jenis sistem brek


*   Mekanikal
*   Gabungan mekanikal dan hidraulik
*   Hidraulik
*   Angin ( pneumatik )

Sistem brek jenis hidraulik menggunakan prinsip paskal yang mana di dalam prinsip ini menyatakan “ cecair yang tertutup dapat memindahkan tekanan yang sama pada semua arah tanpa menghilangkan kuasa yang dihasilkan. Cecair tidak boleh dimampatkan dan tekanan pada keseluruhan sistem adalah sama”


Bahagian-bahagian utama brek hidraulik


*   Pedal brek
*   Silinder induk ( master cylinder )
*   Saluran paip brek ( brake pipe line )
*   Silinder roda ( wheel cylinder )
*   Angkup brek ( brake caliper )

Silinder induk ( master cylinder )

Silinder induk dibina dalam dua bahagian utama iaitu takungan dan satu badan silinder induk. Takungan disediakan bagi membekalkan bendalir brek untuk mengendalikansistem brek. Pada bahagian silinder mengandungi piston yang dipasang penyendal utama ( primary rubber cup ) dan penyendal pendua
( secondary rubber cup ).Spring dipasang dihujung piston bagi membolehkan piston kembali pada kedudukan asal selepas membrek. Injap pampasan ( check valve ) pula dipasang di hujung silinder bagi mengekalkan tekanan didalam paip brek. Dua liang keluaran disambungkan ke roda menggunakan saluran paip brek.satu gelang snap dipasang supaya dapat menahan komponen dalam silinder dari keluar. Di bahagian luarnya pula terdapat pengadang habuk ( dust cover ) untuk mencegah kekotoran daripada masuk kedalam silinder. Rod tunjal digunakan untuk menyambungkan tekanandari pedal ke silinder induk.

Saluran paip brek ( brake pipe line ) dan hos boleh
Hos boleh lentur ( flexible hose )

Paip brek dan hos mudah lentur dipasangkan pada sistem brek adalah untuk menghantar  cecair yang bertekanan tinggi ke angkup brek ( caliper ) dan silinder roda ( wheel cylinder ). Secara umumnya hos boleh lentur dipasang pada roda hadapan. Ini disebabkan roda hadapan bergerak turun dan naik. Oleh kerana bendalir brek beroperasi dalam tekanan yang tinggi, paip dan hos brek mestilah diperbuat daripada bahan yang bermutu tinggi bagi mengelakkan kebocoran.paip brek diperbuat daripada steel tube yang dapat menahan karat dan tekanan tinggi. Manakala hos boleh lentur diperbuat daripada getah campuran yang bermutu tinggi.

Angkup brek ( brake caliper )

Angkup brek biasanya mempunyai dua jenis iaitu:

a)    Angkup tetap ( fix caliper )
b)    Angkup apungan ( floating caliper )

1.Angkup tetap ( fix caliper )
  
Jenis angkup tetap biasanya mempunyai 2 atau 4 piston yang dipasang secara bertentangan antara satu sama lain.Tiap-tiap silinder terdapat satu sesendal (seal). Sesendal ini berfungsi untuk menghalang minyak brek keluar dari silinder dan bersifat menarik balik piston ketempat  asal bagi menyediakan satu kelegaan larian antara pad dengan permukaan disc.

2.Angkup apungan ( floating caliper )

Angkup jenis apungan ( floating ) mempunyai satu piston sahaja, tetapi saiznya agak besar dari saiz piston yang digunakan pada angkup tetap. Angkup brek biasanya digunakan bagibrek jenis piring ( brake disc )


Ciri-ciri bendalir brek


*      Tidak boleh dimampat
*      Tidak berbuih
*      Tidak terpeluwap apabila suhu tinggi
*      Tidak menghakis bahagian logam
*      Tidak mengeraskan dan melembutkan bahan brek seperti yang diperbuat daripada getah.
*      Bertindak sebagai bahan pelincir
*      Tidak mengaratkan komponen brek
*      Tidak mudah beku


Sifat-sifat bendalir brek


*      Tidak berbuih
*      Tidak boleh dimampatkan
*      Tidak mengaratkan komponen brek
*      Tidak bertindak pada getah sistem brek
*      Tidak mudah menjadi wap/ suhu didih tinggi
*      Tahan haba.

Brek jenis gelendong/drum

*      Brek jenis gelendong biasanya digunakan pada brek belakang kenderaan dan brek disk pula pada bahagian hadapan.
*      Brek ini memberhentikan pusingan gelendong dan roda melalui geseran diantara alas brek gelendong.

Permukaan drum licin dan rata. Lining brek dipasang pada kekasut supaya dapat bergesel dengan drum. Diantara kekasut brek terdapat silinder roda ( wheel cylinder ) yang akan menolak kekasut brek supaya bersentuhan dengan drum brek. Terdapat juga komponen-komponen lain seperti:

*      Spring kembali ( return spring ) – bertindak dengan menarik kekasut brek ke kedudukan asal selepas pedal brek dilepaskan.
*      Pelaras – untuk melaras kelegaan antara lining dengan permukaan drum atau untuk membuat pelarasan brek tangan ( hand brake ).
*      Cemat pengunci – untuk menetapkan atau mengunci kedudukan kekasut brek pada backing plate.
  
Silinder roda ( wheel cylinder )

Ianya digunakan dalam sistem brek hidraulik. Ia mengembangkan kekasut brek keluar untuk melakukan geseran dengan gelendong. Tekanan ini akan dikenakan apabila pedal brek di injak. Didalam silinder roda terdapat satu atau dua piston dengan mangkuk getah ( rubber cup ). Diantara piston tersebut dipasang spring. Spring ini akan mengembalikan semula piston ke kedudukan asal selepas beroperasi. Pada silinder juga terdapat skru Penjujus ( bleeding screw ) untuk tujuan membuang udara yang terperangkap dalam sistem brek. Pengadang habuk ( dust cover ) dipasang pada bahagian luar silinder bagi mengelakkan kekotoran masuk kedalam silinder. Silinder roda ( wheel cylinder ) biasanya digunakan untuk brek jenis gelendong( drum ). 

Lining brek dipasang pada kekasut brek ( brake shoe ) dengan menggunakan dua kaedah iaitu dengan cara di rivet dan menggunakan gam yang tahan panas. Lining brek diperbuat daripada asbestos yang boleh tahan panas dan geseran.

Bagi roda yang menggunakan jenis brek drum biasanya menggunakan dua lining yang dipanggil lining premier dan lining sekunder atau kedua-duanya sekunder. Susunan lining brek premier dan sekunder menggunakan satu silinder roda yang dipasang ditengah-tengah nantara lining premier dan sekunder. Apabila pedal brek ditekan piston dalam silinder roda akan menolak lining brek dan bersentuh dengan permukaan drum. Lining brek premier biasanya mengalami tekanan yang lebih dari brek lining sekunder.  Ini menyebabkan lining brek premier lebih cepat menjadi nipis. Jenis ini biasanya digunakan pada roda belakang, keupayaan membrek agak lemah jika dibandingkan dengan dua lining sekunder.

Manakala jenis dua lining brek sekunder menggunakan dua silinder roda yang berasingan pada saturoda beserta dengan unit pelaras pada setiap lining brek. Kedua-dua lining brek bergerak mengikut arah pusingan gelendung, dengan ini akan menyebabkan kuasa membrek yang lebih mencengkam. Kelemahan jenis ini ialah kedua-dua lining brek akan bertindak sebagai lining brek premier semasa kenderaan mengundur.

Gelendung/ drum

Drum diperbuat daripada besi tuangan dan aluminium/ besi tuangan dan keluli. Besi tuangan digunakan sebagai permukaan dalam drum sahaja. Kebanyakan drum brek sekarang menggunakan jenis besi tuangan dan keluli. Ini adalah kerana keluli lebih teguh dan besi tuang pula tahan dan bermutu tinggi serta dapat mengalirkan haba dengan cepat. Semasa brek beroperasi drum akan menjadi panas, untuk mengalirkan haba yang terbentuk itu ke udara biasanya permukaan luar drum dibuat bersirip ( tidak pada semua kenderaan ) dan rim roda yang berlubang digunakan.
  
 Brek piring/disk

Biasanya digunakan ke atas roda hadapan pada kebanyakan kenderaan. Satu disk dipasang ke hab roda dan berputar sekali dengan tayar dan roda. Apabila brek di injak, tekanan hidraulik daripada silinder induk digunakan untuk menolak lapik geseran ( pad )melawan gerakan rotor kemudian memberhentikannya.

Binaan disk / piring

Brek disk mempunyai permukaan yang licin pada kedua-dua belah permukaannya. Biasanya diperbuat dari besi tuangan. Ada juga yang dibuat padu dan ada yang dibuat bersirip pendingin diantara permukaan brek.

Pad brek

Pad brek digunakan bagi mencengkam disk semasa kenderaan bergerak. Pad brek biasanya diperbuat daripada campuran asbestos, logam lembut dan damar.
   
Kebaikan brek piring/disk

*      Tiada pelarasan perlu dibuat terhadap pepasangan brek disk
*      Masalah “brake fade” dapat dikurangkan
*      Mudah untuk melakukan pemeriksaan

Keburukan brek piring/disk

*      Memerlukan tekanan yang tinggi jika sistem servo unit rosak

Brek tangan ( Hand brake )

Digunakan apabila kenderaan diberhentikan. Ini bertujuan bagi memastikan kenderaan tersebut tidak bergerak dan berada pada keadaan statik. Brek tangan juga berfungsi sebagai membantu memberhentikan kenderaan seandainya sistem brek hidraulik kurang berfungsi . brek tangan terdiri daripada tiga unit penting iaitu:
·         Unit ratchet
·         Kabel keluli boleh lentur
·         Unit gesel brek

Kendalian brek tangan

Brek tangan dikendalikan secara mekanikal. Apabila lengan tuil ditarik, kabel akan menarik gesel brek gelendung ( drum ). Ini menyebabkan gesel brek keluar dan menekan permukaan gelendung ( drum ). Ini akan menyebabkan roda akan mengalami nyahpecutan ( deceleration ).

Brek Anti-Kunci ( ABS-Antilock Braking System )

ABS menggunakan sensor yang dipasang pada setiap roda. Dalam sistem ini, sensor pada roda akan menghantar isyarat ke ECU terhadap kelajuan pusingan roda. Apabila brek ditekan, ECU akan mengesan jika terdapat roda yang mengalami nyahpecutan terlalu cepat dan berkemungkinan terkunci. ECU akan mengeluarkan isyarat untuk menggerakkan injap solenoid hidraulik bagi mengurangkan tekanan brek keatas roda tersebut. Ini dapat menstabilkan pergerakan roda daripada tergelincir semasa brek ditekan secara mengejut.

No comments: